Jadi Baik
Kepada yang bukan Islam, kalau nak tengok orang Melayu jadi baik, anda boleh lihatnya pada bulan Ramadhan. Apabila tiba bulan Ramadhan ini, semua orang Islam akan berpuasa. Parlimen pun turut puasa.
Saya ada beberapa orang rakan bukan Islam yang cuba berpuasa. Katanya dia boleh tahan berpuasa, tapi kena minum air. Saya kata kalau minum air, itu puasa Kristian. Jadi kalau jumpa mana-mana orang muda Islam yang mewarnakan kuning/perang rambutnya tapi terlupa memakai contact lens biru -- minum air, cepat-cepatlah tegur, "Hei, kamu tak puasakah?"
Pastikan dia itu Melayu Islam, kerana Melayu juga ada yang sudah murtad (masuk agama lain).
Murtad
Isu murtad sememangnya sukar untuk dijelaskan. Saya boleh umpamakan seseorang yang memasuki Islam itu sebagai darah yang sudah melepasi injap jantung. Tiada pilihan untuk tarik balik atau keluar semula. Hukumnya pancung. Kepada yang bukan Islam, ada boleh bertanya kepada pakar agama Islam yang lazim digelar sebagai ustaz. Walaupun ustaz itu bermakna sir atau tuan dalam Bahasa Arab, tetapi gelaran itu diberi kepada orang yang berpengetahuan luas dalam agama di Malaysia ini.
Saya yakin orang-orang bukan Islam yang bertanya hal murtad ini pada ustaz-ustaz di Malaysia, akan dilayan dengan baik. Tambah pula bulan Ramadhan.
Soalan Popular
Antara soalan yang popular ialah,
"Ustaz, kenapa orang yang sudah masuk Islam tak boleh keluar masuk agama lain?
Itulah soalan yang selalu saya dengar dari non-Muslim. Saya jawab, you pergi tanya ustaz, saya tak pandai nak jawab dengan lebih terperinci kerana ini isu agama.
Ada soalan lagi susah nak jawab,
"Ustaz, kenapa bayi yang automatik Islam tak boleh keluar Islam dan masuk agama lain?"
Saya percaya banyak ustaz boleh jawab isu ini. Saya pernah bersembangkan hal ini dengan orang-orang tua di restoran dan surau. "Kata mereka, kau cakap sama orang kafir itu jangan campur hal agama orang Islam".
Macam manalah Islam nak berkembang? Perangai sekat-menyekat jawapan itu seperti sikap parti UMNO-BN.
Sekat Cara Lama
Bercakap mengenai sekatan, teringat saya di waktu kecil dahulu. Orang-orang tua sering menjeling pada orang-orang muda yang suka bertanya atau tak dengar kata. Apabila dijeling maka ikut kaedahnya, orang-orang muda perlu tunduk dan jangan melawan.
Sekarang, cuba buat begitu pada orang-orang muda. Tak ada apa-apa pun. Buat sakit jantung sahaja. Mengapa?
Hakisan Budaya
Saya merasakan ia ada kaitan dengan hakisan budaya. Sekarang budaya Melayu lama banyak tidak dipakai. Anak-anak muda lebih gemarkan sesuatu dari luar negara. Kerana ia lebih dipandang tinggi atau pun mengikut trend masakini. Di kaca TV pun itulah yang dipaparkan sehingga menjadi makanan minda pada kanak-kanak Malaysia. Internet yang menghubungkan negara kita dengan pelbagai bahan-bahan dari luar negara sememangnya banyak memberi kesan.
Perisai Agama
Pada saya, ia boleh diguna-pakai tetapi rasanya Malaysia (bagi yang Muslim) belum bersedia dengan perisai (ilmu agama). Hari ini, ramai anak-anak muda yang tidak tahu hukum-hakam Islam. Jadi mereka melenting apabila ditegur atau dimarahi di atas kelakuan mereka yang melanggar batas-batas ketimuran dan agama. Bagi mereka, apa yang mereka buat itu sudah betul. Atau mereka bodoh sepat (pura-pura tak tahu, tapi fasih benar).
Jika dibuat cara PAS berkenaan dengan Konsert Avril Lavigne baru-baru ini, ia seperti sesuatu yang sukar untuk diterima terutama bagi yang lahir pada tahun 90-an. Yang anak menteri itu bukan lahir tahun tahun 1985 ke? LOL!
Ulama' Digam & Tidak Bersatu
Itulah, ada ulama' yang berwibawa kena gam. Apa yang ditulis dalam Al-Quran dan hadis nampaknya sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Ia seperti cerita Jumanji LOL! Satu per satu diperlihatkan. Saya pernah dengar ulama' kata di akhir zaman nanti, yang haram jadi halal dan yang halal jadi haram. Ada juga para ulama' yang berkata di akhir zaman, akan ada orang berzina di tepi jalan dan kita terpaksa berkata, "Hei tepi sikit saya nak lalu ni". LOL!
Dulu di dalam suratkhabar saya jumpa satu kolum orang yang bernama Astora Jabat. Ramai orang PAS bencikan dia. Sekarang tak tahu samada kolum itu masih ada lagi atau tidak. Sekrang ini ramai ulama' yang muda-muda. Mana pergi kesepakatan mereka dengan golongan ulama' veteran?
Banyak yang saya lihat, ulama' muda ini hanya baca teks dan kurang pengalaman. Tidak pandai mengaitkan ceramah mereka dengan isu-isu semasa serta tidak vokal dalam menegakkan yang hak. Itu belum campur yang suka mengampu, yang suka layan MP3 lagu jiwang. Ulama' dahulu, hisap rokok pun tak ada. Katanya asap rokok itu makanan jin.
Ilmu dari Timur Tengah
Saya juga hairan bagaimana seseorang yang belajar di Timur Tengah boleh menjadi ulama' mengampu. Kadang-kadang terasa juga mungkin ustaz atau ustazah ini ada misi. Mungkin dia bodoh sepat tunggu peluang di lipat LOL! Mungkin negara kita kena mula lantik para ulama' yang berwibawa (ada tokoh, pandai bikin kerja).
Ahmad Deedat
Saya rasa tentu para ulama' di Malaysia kenal siapa itu Ahmad Deedat. Saya mengagumi beliau, kerana dia seorang yang belajar sendiri dan mampu berhujah dan menjawab persoalan yang diajukan paderi-paderi Kristian di merata dunia dengan fakta dan ayat Allah S.W.T, ayat Bible dan bukannya dengan ugutan atau sekatan.
Dr. Zakir Naik
Ahmad Deedat mampu melihat suatu ayat Al-Quran itu dengan penuh makna. Kita perlu ada pemimpin seperti ini. Sayangnya Ahmad Deedat telah pergi dan Dr. Zakir Naik yang sedang menggantikan beliau. Terpaksalah saya memasang telinga betul-betul semasa mendengar ceramahnya yang penuh dengan accent (pelat) India pekat.
Selamat Berpuasa Semua. Kepada non-Muslim Selamat Menjamu Selera (Pasar Ramadhan banyak makanan best LOL! Puasa dah jadi pesta makanan.















