Lazimnya orang Melayu kita balik kampung tanggal Hari Raya Aidil Fitri. Bagi saya, tiada istilah balik kampung kerana semuanya dekat-dekat di sekitar Kuala Lumpur sahaja.
Saya dan Aidil Fitri
Tahun ini, sama sahaja dengan 2-3 tahun lepas. Baju Raya masih tidak dibeli saya dan tiada sambutan apa-apa, melainkan Solat Sunat Aidil Fitri dan khutbah mengikut teks kerajaannya.
Niat Solat Sunat Aidil Fitri
Usalli sunnatan liAidil Fitri rak'ataini lillahi ta'ala.
Ertinya: "Sahaja aku sembahyang sunat hari raya fitri dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.
Bagi saya, tiada seorang pun yang berdosa terhadap saya. Setiap kali saya ingin tidur, semua orang saya maafkan. Itulah sebaik-baik terapi buat jiwa kita sebelum melelapkan mata selain bacaan 3 kul dan doa tidur.
Ziarah-menziarahi
Ini juga termasuk ziarah kubur. Doa kepada arwah si mati saya rasa, mesti dihadiahkan setiap kali selepas solat dan di mana-mana jua apabila terdetik di hati untuk menghadiahkan doa dan sedekah ayat-ayat Allah S.W.T
Budaya Hari Ini
Kita lihat manusia sekarang semakin sibuk. Mereka lupa untuk mengundi kerajaan yang mampu untuk membantu mereka dalam meluangkan masa bagi mengadaptasikan (menyesuaikan) satu sistem yang baru dengan kehidupan sehari-hari mereka.
Mahu menghubungi melalui telefon pun tiada masa. Mahu ziarah ibubapa pun, harus tunggu musim perayaan atau satu kematian/kemalangan, mengapa begitu?
Inilah yang membuatkan saya menjadi marah dan tidak mustahil perkara yang sama bakal dilalui saya, jika saya tidak mula lakukan perubahan atau mula bersuara.
Sibuk. Itulah perkataan keramatnya.
Kita semua bagaikan terperangkap dengan sistem kerajaan yang ada, baik ekonomi, teknologi dan agama.
Budaya Dahulu
Ibubapa saya sendiri bercerita, pada zaman mereka, dua pupu itu hubungannya sudah seperti adik-beradik. Mereka selalu menziarahi sesama mereka.
Bandingkan dengan zaman sekarang? Adik-beradik pun susah nak berjumpa. Apa lagi sepupu atau dua pupu.
Adilkah jika orang-orang tua mengatakan orang sekarang sombong? Tiada masa dan sombong mementingkan diri sendiri begitu?
Saya rasakan sombong bukan istilah yang sesuai. Tetapi tidak berani bersuara, terperangkap dalam sistem kerajaan yang ada. Perkataan 'sistem' itu amat besar rangkumannya (lingkungannya). Ia merangkumi, sistem ekonomi, sistem keagamaan, sistem perundangan dan banyak lagi jika kita mampu berfikir mengenainya.
Masjid Kosong
Ajaklah orang ramai untuk ke masjid, jika mereka:-
- Sibuk makan gaji, terpaksa menambah usaha untuk mencari sesuap rezeki yang kian mahal.
- Merima asakan hiburan yang melampau di segenap media yang ada.
- Tidak ada undang-undang yang mewajibkan sektor kerajaan dan swasta memberikan interval masa berkerja untuk pekerja Islam berjemaah.
Kalau ada orang mungkin Tok Imam, Tok Siak, orang-orang tua pencen, orang-orang alim, musafir dan orang berkepentingan sahaja.
Tiada salam-salaman sesama muslim selepas solat dengan ramainya.
Tiada pertukaran business card yang mampu menguatkan empayar ekonomi para muslim.
Masjid mati. Semuanya hambar.
Hari Kiamat pun senang-senang muncul berlapiskan ciri-ciri kiamat seperti "Masjid besar orang tiada" atau "Azan tidak berkumandang lagi" dan lain-lain.
Kemudian wujudlah baris seperti, "Masjid sekarang seperti Kelab Orang-orang Tua.
Penuh Bermakna
Anda mahu hari-hari anda penuh bermakna?
Lantiklah para pemimpin yang bijaksana dan yang peka memelihara hak setiap kaum dan menghormati dengan lebih terperinci pada aktiviti semua penganut agama.
Tiang Agama
Solat itu tiang agama di dalam Islam. Jika tiada sistem yang baik daripada kerajaan untuk menjamin tiang-tiang ini didirikan secara berjemaah (berkumpulan), maka tidak akan wujud satu anjakan paradigma (perubahan besar) dalam hari-hari mendatang.
Pada saya, jika mahukan perubahan, kita perlu memperbaiki kesemunya termasuk kerajaan kita yang mampu mengacuan hidup kita melalui sistem atau pun ketetapan undang-undang atau akta-akta mereka.


























