




Hari ini memang malang betul. Saya ke Maybank di Sentul Raya untuk mengeluarkan wang gaji Disember 2008 yang baru tersedia hari ini di dalam akaun. Trafik bergerak lancar dan tempat letak kereta mudah didapati. Sejurus keluar dari kereta saya dihampiri satu daripada orang remaja India yang menjual spray kilat kereta. Terus saya katakan, gaji pun saya belum dapat dan dia pun hampa. Kereta pun bapa saya yang punya, Proton Saga buruk.
Sampai di mesih ATM, saya hanya dibenarkan membawa keluar RM1,000 dari akaun bank untuk hari ini. RM1,000 pun RM1,000 lah. Saya pergi ke kereta dan ingin beredar.
Semasa hendak keluar dari kawasan Sentul Raya, sebuah kereta Kia Spectra yang berada di sebatang jalan sehala berundur dengan tiba-tiba, kerana hendak membolot tempat letak kereta. Saya juga dengan spontan berundur. Tak semena-mena saya dengar bunyi hon, yang saya sendiri tidak pasti samada dari kereta depan atau pun kereta belakang. Kemudian satu dentuman kedengaran akibat pelanggaran kereta saya dan kereta di belakang. Ketika itu, saya rasakan duit yang berada di dalam dompet saya akan melayang ke tangan orang lain dan Tuhan seakan-akan mahu saya berada di Malaysia sempena Tahun Baru Cina ini. Tak guna betul!
Saya keluar dan melihat apa yang berlaku dengan hati terasa panas dengan tindakan pemandu kereta Kia Spectra di hadapan saya. Sebuah kereta Proton Wira Thomas Edition telah saya kemekkan. Saya tak sangka Proton Saga yang ber'bumper' besi ini mampu menyebabkan kerosakan begitu. Apabila pemandunya keluar barulah saya dapati pemiliknya ialah seorang India veteren. Hati saya sudah meluap-luap dengan pemandu Kia Spectra tadi.
Pemandu Kia Spectra yang berbangsa Cina itu seakan-akan mahu lari dan tidak mahu bertanggungjawab. Saya cakap dalam bahasa Inggeris untuk mendapatkan respek daripadanya. Malangnya, pemandu Cina itu mahu saya melaporkan pada polis dan mendapatkan tuntutan insurans. Saya berkata padanya supaya menjadi orang yang bertanggungjawab dan mengingatkannya supaya menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab.
Katanya, kesalahan itu adalah kesalahan saya semata-mata dan saya patut berhati-hati. Saya jawab, ini jalan sehala dan mana ada orang undur untuk merebut ruang letak kereta?. Katanya pula, dia sudah lambat dan ingin menghadiri mesyuarat. Dia terus beredar. Tatkala itu, saya tarik muka dan berkata dalam hati "Macamlah aku tak pernah tengok muka orang Cina bertali-leher, yang selalu kelam-kabut macam kau ni? Dah berpuluh-puluh Ah Beng yang buat sial begitu".
Pemilik kereta Wira Thomas Edition tadi itu pun turut mendengar perbualan saya dan berkata pada saya, supaya lupakan orang Cina itu kerana dari riak mukanya dia tak akan mengaku kesilapannya. Lengkaplah situasi kejadian, ada Melayu (saya), India dan Cina. Kesimpulannya Si Cina lebih mementingkan diri sendiri. Mana nak cari Cina macam Tian Chua yang baik hati budinya. Saya tidak anti-Cina dan para pembaca tidak boleh bersikap anti-Islam jika ada pengebom berani mati yang beragama Islam membedil sesebuah kota.
Saya pun kata pada pemandu India itu, bagaimana dengan kerosakan ini? Di mana dia selalu membaiki kereta? Setelah berbincang, dia setuju untuk ke bengkel yang selalu dikunjunginya. Saya ikut keretanya dari arah belakang. Hairan kereta saya langsung tak jadi apa-apa. Lampu brek semuanya kukuh. Inilah kekuatan Proton Saga kemasukan awal 90-an rasanya.
Setibanya di bengkel, saya tanyakan pada orang bengkel, berapakah kos membaiki semuanya? Katanya RM440.00 setelah diberi potongan harga. Saya pun ringankan tangan dan bayar kos pembaikan itu. Saya kena jaga reputasi sebagai seorang lelaki Melayu yang bertanggungjawab dan mampu berbahasa Inggeris. Pebualan saya dengan pemandu India (di dalam Bahasa Inggeris) itu berlanjutan:-
Hanief: Hah! Di pintu belakang pun ada kemek?
En. Ilesh: Oh, tidak. Itu saya dapatinya di satu bulatan. Sebuah MPV yang langgar dan pemandunya lari. Saya tak akan caj kamu pada kerosakan lain. Saya bukan jenis orang yang ambil kesempatan begitu.
En. Ilesh: Bayangkan saya hanya bawa kereta pada 20km sejam.
Hanief: Ah, bulatan memang agak mengelirukan.
En. Ilesh: Ya, polis pun kata begitu.
Hanief: Lebih-lebih lagi yang tiga lorong. Bulatan Pahang kah?
En. Ilesh: Ya, tepat sekali.
Hanief: Kereta MPV hebat dan mahal. Tetapi tak mampu tampung kos pelanggaran. Haha!
En. Ilesh: Ini semua sikaplah. Pemandunya boleh marah-marah dengan saya sedangkan Isteri dan anak-anak saya semua ada di dalam kereta. Memang tak ada adab.
Hanief: Kadang-kadang orang yang berbuat begitu, kerana dia nak menang dan lepas tangan sahaja.
En. Ilesh: Setiap kali Tahun Baru Cina, mesti ada yang tak kena. Tahun lepas pun saya dah kena. Sebab itu saya cakap dengan isteri saya supaya...
Hanief: Jangan keluar rumah?
En. Ilesh: Taklah, hanya berhati-hati. Tetapi hari ini, kereta berlanggar pula. Tak apalah, hari ini pun bagus juga kalau baiki kereta, kalau tunggu lagi seminggu dua, banyak yang tak terbuat. Tahun Baru Cina nak dekat.
Hanief: Betul tu, saya dengar lepas Tahun Baru Cina, kemelesetan ekonomi akan jadi lebih teruk.
En. Ilesh: Ya, sudah tentu. Amerika Syarikat sedang tenat sekarang. Malaysia pun akan alami benda yang sama.
Hanief: Lagi pun rakan dagangan Malaysia terdiri daripada Amerika Syarikat, UK dan Jepun.
En. Ilesh: Saya sebelum ini bekerja dalam bidang import dan eksport. Sebenarnya Amerika Syarikat meleset akibat daripada percetakan wang kertas yang berlebihan. Banyak negara yang terlibat dengan matawang mereka. Tetapi dalam pada masa yang sama matawang mereka tidak setaraf dengan nilai emas. Juga, wang dolar Amerika Syarikat ini sudah habis perginya ke benua Arab dan negara kuasa besar yang lain.
Hanief: Oh, begitu.
En. Ilesh: Amerika Syarikat ada berhajat untuk memiliki matawang mereka semula dengan memanggil negara tersebut untuk melabur akan tetapi kos pengangkutan terlalu mahal.
Hanief: Oh, krisis minyakkan?
En. Ilesh: Ya. Jadinya mana-mana negara yang ada matawang Amerika Syarikat pasti akan mengalami kesannya.
Hanief: Habislah kita. Saya pernah ke Iran dan di sana urus niaga minyak semuanya dalam matawang Euro.
En. Ilesh: Ya, kalau nak tahu, Euro jugalah yang menyebabkan Iraq di serang. Tiada senjata berbahaya seperti yang didakwa Amerika Syarikat. Selepas itu Iran pula mengikut rentak Iraq untuk berniaga di dalam matawang Euro.
Hanief: Yakah?
En. Ilesh: Ya! Amerika Syarikat takut untuk melihat matawang dolarnya di pulaukan. Lebih-lebih lagi benua Arab. Chavez di Venezuala pun dah meluat dengan Amerika Syarikat.
Hanief: Ini semua tak ada dalam suratkhabar. Banyak juga yang En. Ilesh tahu ya?
En. Ilesh: Saya dah lama tak beli suratkhabar hampir 4 tahun dah. Anak-anak saya pun saya larang baca akhbar sekarang, tak kita Utusan atau The Star. Sebab semua yang dilaporkan hanyalah penipuan dan tak ada unsur ilmiah. Dia akan laporkan apa yang dia nak kita fikirkan. Tidak bebas dan tak mengembangkan minda kita.
Hanief: Wah!
En. Ilesh: Bukan itu sahaja, dari segi bahasa pun seperti isu pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Ini satu kegagalan DBP. Mereka gagal meneliti bahasa Melayu dan menjadikannya suatu bahasa yang ada identiti.
Hanief: Contohnya?
En. Ilesh: Perkataan Bahasa Inggeris yang dicedok untuk dijadikan Bahasa Melayu. Ini mengelirukan anak-anak kita. Lihat suratkhabar The Star, perkataan Menteri Besar dicetak dan digunakan di dalam teks berbahasa Inggeris. Apabila Mat Saleh baca, entah apalah yang mereka fikirkan nanti. Kenapa tak letak Chief Minister dalam teks itu?
Hanief: Oh sebab itu rupanya.
En. Ilesh: Bukan itu sahaja, Bahasa Melayu tak ada identiti seperti beberapa perkataan yang dicedok. Bahasa itu akan jadi mudah apabila ia berbeza daripada bahasa yang lain. Orang DBP itu kurang pandai dan malas untuk memperkasakan Bahasa Melayu.
Hanief: Bagaimana pula dengan isu Matematik dan Sains diajar dalam Bahasa Inggeris?
En. Ilesh: Itu tak perlu. Bahasa Melayu pun sudah cukup baik untuk mengajar sesuatu subjek. Menguasai sesuatu bahasa itu, bukan dengan cara begitu. Lihat beberapa pemimpin yang ada pada hari ini, mereka belajar subjek-subjek itu dahulunya dalam bahasa apa? Cara yang kerajaan kita lakukan ini tak kena.
En. Ilesh: Negara kita ini kurang golongan bijak pandai dan tidak ada kebebasan serta banyak penipuan dalam catatan sejarah.
Hanief: Saya pun dah lama tak beli akhbar. Semua baca di Internet.
En. Ilesh: Tengok akhbar hari-hari berita Palestin. Tahu kenapa Liga Arab banyak simpati dengan Palestin tetapi tidak bagi negara Arab Saudi yang lebih Islamnya. Sebenarnya ada 1 juta jumlah warga Arab Saudi di dalam negara Israel, sebab itu Arab Saudi tidak dapat berbuat apa-apa. Bayangkan kalau kita ada 1 juta rakyat di sana, mahukah kita berpihak pada Palestin?
Hanief: Dalam akhbar tak ada pun berita mengenai 1 juta warga Arab Saudi ini.
En. Ilesh: Itulah negara kita ini medianya kurang berdasarkan pengetahuan tetapi lebih berdasarkan propaganda.
En. Ilesh: Negara Malaysia ini kaya tetapi kita tak gunakan segala-galanya dengan baik. Tengok pendidikan juga dicemari dengan kuota yang tidak adil. Kalau ada orang bukan Bumiputera dapat 10A1 dia tak dapat masuk universiti. Ada kuota pun, orang Melayu Bumiputera masih gagal memenuhi tempat di universiti. Kesannya, negara lain akan menyedut para pelajar ini ke negara mereka. Mereka ini diberi kerja dan kewarganegaraan.
En. Ilesh: Apabila negara ini kehilangan orang-orang pandai, teknologi dan ekonomi kita akan jatuh. Negara yang memiliki golongan bijak pandai dari negara kita akan meningkat maju. Contohnya, bukan warganegara UK yang membuatkan UK jadi hebat dalam IT. Tetapi warganegara India yang mahir dalam IT.
Hanief: Betul juga.
En. Ilesh: Jadinya sesebuah negara itu maju, adalah kerana kehadiran golongan bijak pandai dari negara lain dan pimpinan yang adil serta telus.
En. Ilesh: Malaysia kita sekarang ini dipimpin oleh UMNO. Banyak benda yang dikawal oleh UMNO. UMNO nak jadikan Malaysia ini semua orang Melayu, sebab itu mereka ambil orang Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal dan Pakistan. Banyak masalah sosial berlaku kerana pendatang ini. Dahulu, Malaysia aman dan sesiapa yang mahu makan pada pukul 4 pagi boleh makan dengan aman. Sekarang, polis akan datang dan minta kad pengenalan.
En. Ilesh: Tahu tak, dahulu pada tahun 70-an, 1975, di Malaysia ada tayangan filem lucah. Malaysia begitu terbuka ketika itu.
Hanief: Di pawagam?
En. Ilesh: Ya, semua orang yang berumur 18 tahun ke atas boleh pergi menontonnya. Tetapi selepas itu, PEMUDA UMNO datang dan buat kacau dan kecoh untuk haramkan tayangan filem lucah itu. Apabila ini berlaku, orang ramai akan curi-curi tonton di rumah juga. Kalau negara kita benarkan tayangan filem lucah dan pelacuran, orang ramai akan ternganga mungkin pada 6 bulan pertama, tetapi selepas itu orang ramai tak akan hiraukannya lagi.
En. Ilesh: Lagi pun kalau kita tengok sekarang, pelacuran yang ada di Chow Kit dan Bukit Bintang amat mahal bagi pendatang asing orang Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal dan Pakistan. Akhirnya mungkin anak saya atau pun isteri saya jadi mangsa seks mereka. Kita lihat Singapura mereka ada kelaskan tempat tertentu untuk memuaskan nafsu seks para pendatang dengan harga yang mampu dibiayai mereka. Pelacuran memang haram ikut agama mana-mana pun, tetapi kita tak boleh nafikan perkhidmatan yang berkurun lamanya ini.
En. Ilesh: Begitu juga dengan cerita Melaka. Saya baca Sejarah Malaysia, tidak ada satu pun peninggalan bahan binaan zaman sultan dahulu. Bagi saya sultan ini semua tipu sahaja. Di Melaka kita boleh lihat peninggalan Belanda, Portugis, Jepun dan British.
Hanief: Tapi bagaimana dengan batu bersurat?
En. Ilesh: Itukan dari Terengganu.
Hanief: Ya tak ya juga. Tapi mungkin peninggalan Melayu ini sudah dihapuskan?
En. Ilesh: Tak mungkin. Kalau duit syiling, kita tanam hari ini, generasi akan datang pasti akan jumpa duit syiling itu suatu hari nanti. Bukti tak boleh tipu kita. Sejarah boleh direka. Satu lagi pahlawan Melaka seperti Hang Tuah, Hang Jebat dan lain-lain. Kenapa tak ada nama Melayu macam pahlawan itu pada hari ini? Rasanya itu nama pahlawan Cina yang handal bermain pedang. Nama mereka pun macam bunyi Cina sahaja. Hang Tu Ah, Hang Ji Bat.
Hanief: Banyak betul yang En. Ilesh tahu. En. Ilesh ini berapa umur?
En. Ilesh: Saya 50 tahun. Saya asal Melaka.
Hanief: Oh, patut pun. Bagaimana dengan kubur atau makam pahlawan Melayu Melaka iu semua? Bukan buktikah?
En. Ilesh: Dahulu semasa saya kecil saya selalu jalan-jalan di Melaka dan saya lihat ada banyak kubur. Saya tanya pada orang-orang tua di situ. Mereka kata itu kubur pedagang dari Sumatera. Tetapi 10 tahun selepas itu saya pergi kembali ke situ, semuanya sudah bertukar kepada kubur Pahlawan Melaka seperti Hang Tuah.
Hanief: Kawasan mana yang En. Ilesh maksudkan?
En. Ilesh: Rasanya Batu Berendam nama tempat itu. Malaysia ini asalnya tempat orang beragama Hindu.
Hanief: Ya, itu memang betul.
Hanief: Oh ya, bagaimana dengan Parameswara?
En. Ilesh: Parameswara pun Hindu. Tapi saya tak tahu kenapa di lari ke Melaka.
Hanief: Tapi kenapa orang Melayu ramai di Malaysia? Senjata Keris pula bagaimana?
En. Ilesh: Melayu adalah bangsa kacukan. Kemboja, Indonesia, Cina, India. Cuba lihat Pulau Pinang, banyak Mamak di sana. Semua pakai Kain Sarong. Tapi Mamak yang kaya dia panggil Bumiputera. Sheikh Kadir Sheikh Fadzir dipanggil Bumiputera. Shahrizat pun sama Bumiputera. Kalau tak ada duit banyak, dia panggil Mamak. Mahathir pun Mamak juga.
Hanief: Dulu En. Ilesh belajar di mana?
En. Ilesh: Saya belajar pengurusan perniagaan di India.
Hanief: Anak-anak En. Ilesh belajar lagi?
En. Ilesh: Seorang ambil A-Level dan seorang sedang belajar bidang farmasi di AIMST, Kedah. Tahu tak seorang doktor tak boleh jual apa-apa ubat untuk pesakit?
Hanief: Tak tahu pula. Biasanya doktorlah yang bagi ubat.
En. Ilesh: Di Malaysia memang budayanya begitu. Tetapi tidak di India dan Amerika Syarikat. Doktor di sana hanya memeriksa pesakit dan beritahu ubat apa yang diperlukan sahaja. Kemudia pesakit perlu ke Farmasi. Tetapi apa yang berlaku di Malaysia? Farmasi tidak boleh beroperasi 24 jam. Saya tak puas hati dengan kerajaan Malaysia. Apa akan jadi jika pesakit kehabisan ubat? Kalau ikutkan hati saya nak pindah sahaja dari Malaysia.
Hanief: Ke negara mana?
En. Ilesh: Amerika Syarikat?
Hanief: Kata tadi di sana ada kegawatan ekonomi?
En. Ilesh: Amerika Syarikat sebuah negara besar dan mempunyai banyak hasil eksport. Tak perlu risau.
Hanief: Bagaimana jika ada masalah perkauman di sana?
En. Ilesh: Masalah perkauman atau rasuah ke? Di mana-mana pun ada. Seluruh dunia ada punya. Semasa saya dalam perniagaan import dan eksport, saya perlu tawarkan sesuatu untuk Singapura.
Hanief: Singapura mahukan sesuatu.
En. Ilesh: Ya, kalau nak dapat perniagaan. Lainnya kebanyakan orang adalah dari kaum Cina. Jadi mereka tak bising tentang berlegar-legarnya wang rasuah. Di Malaysia, ada pelbagai kaum jadinya semua saling tuding-menuding. Kerajaan dan media pun suka melaga-lagakan kita semua. Apa jua perubahan spesifikasi perniagaan saya perlu tawarkan sesuatu pada Singapura ketika itu.
En. Ilesh: Malaysia ini negara kaya. Tetapi rakyatnya tak tahu menghargainya. Susah hendak cari satu tempat yang kita boleh tanam apa-apa pun tanpa pengairan yang baik.
Hanief: Ya, Malaysia ada keistimewaan itu.
En. Ilesh: Semasa saya di Thailand, saya menguruskan ladang Kelapa Sawit untuk dieksport.
Hanief: Bagaimana cuaca di sana.
En. Ilesh: Lebih kurang Malaysia sahaja. Cuma agak panas sedikit. Apa yang saya ingin cerita ialah bagaimana saya menguruskan perbelanjaan dan strategi penanaman dalam memaksimumkan hasil eksport dan pendapatan harian para pekerja.
En. Ilesh: Sebelum saya datang ke situ, hasil eksport hanyalah 5 tan. Semasa saya menguruskan ladang itu, saya berjaya menaikan hasil eksport kepada 40 tan.
Hanief: Wah! Bagaimana pula tu?
En. Ilesh: Sebenarnya setiap pokok mempunyai masalah tersendiri. Bukan setiap pokok itu sama dari kecil hingga besar. Jadi adalah tugas kita untuk memeriksa setiap pokok. Bunyinya rumit, tetapi itulah rahsianya. Saya suruh setiap pekerja periksa setiap pokok dan atasi masalah yang dihadapi setiap pokok itu.
Hanief: En. Ilesh ada belajar pasal pertanian juga?
En. Ilesh: Tak perlu ini adalah pengetahuan umum. Kita hanya perlu beli buku dan baca. Saya habiskan RM200.00 - RM300.00 untuk mendapatkan maklumat tentang kelapa sawit.
Hanief: Bagaimana dengan tanaman Kelapa Sawit di Malaysia?
En. Ilesh: Malaysia tanaman Kelapa Sawitnya agak berjajar jauh dan terdapat banyak ruang.
Hanief: Maksudnya penanam itu takut pokok itu bersaing?
En. Ilesh: Tidak ada mereka sebenarnya patut gunakan ruang-ruang itu. Mereka boleh buat seperti apa yang saya dah buat di Thailand dulu. Lebihan ruang, saya suruh mereka tanam Kangkung, Nenas. Di Malaysia pula mereka boleh bela lembu. Jadi tak perlu pakai racun untuk matikan rumput. Lepas itu tahi lembu boleh simpan untuk buat baja.
En. Ilesh: Masalah di Malaysia ialah orang-orangnya kurang pengetahuan umum. Pernah saya telefon operator untuk bertanyakan tentang Philedelphia. Operator itu tanya saya, "Philedelphia? Dekat Afrika kah?". Dia sebagai operator antarabangsa sepetutnya tahu tentang lokasi bandar Philedelphia.
Hanief: Hahaha. Bandar itu ada di Amerika Syarikat.
En. Ilesh: Ya. Saya fikir Malaysia kekurangan orang pandai-pandai macam kita ini. Semua yang pandai-pandai telah disapu oleh negara luar untuk kepentingan kedudukan negara mereka. Saya ada dengar yang kerajaan kita mahu panggil semula golongan bijak untuk kembali ke negara kita.
Hanief: Maksud En. Ilesh, rakyat Malaysia yang ada di luar sana?
En. Ilesh: Ya, saya fikir mereka mahu kembali ke sini (Malaysia) untuk salurkan idea baru tetapi mahukah orang yang berkuasa sekarang melepaskan kedudukan mereka? Orang yang panggil rakyat kita balik itu tahu yang mereka akan jadi nombor 2 sekiranya yang berada di luar negara itu balik ke Malaysia. Orang pandai akan tetap di atas sekiranya mereka ke mari. Samalah macam Samyvellu, siapa yang lawan dia tahulah apa yang akan jadi. Dia tak akan lepaskan kerusi dia. Itulah masalah kita di Malaysia.
En. Ilesh: Bayangkan sudah 50 tahun MIC berkuasa, tetapi kaum India di Malaysia bagaimana? Suatu masa dahulu, orang Cina datang ke Malaysia dalam bentuk kumpulan kampung. Setiap kampung ada ketua atau taiko mereka. Jadi apabila sampai di sini, ada banyaklah jadinya kumpulan-kumpulan kampung Cina yang menjalankan perniagaan di Malaysia. Mereka bersaing dan bekerja sama dengan sihat. Tak seperti orang India. Yang datang ke mari adalah dari golongan hamba dan tuan seperti gangster. Itulah asalnya MIC, mereka tak mahu golongan India bawahan naik ke atas langsung. MIC takut persaingan. Itu pasal wujud seperti gerakan HINDRAF.
Hanief: Bukankah HINDRAF itu mainan UMNO?
En. Ilesh: HINDRAF itu terbit dari rasa tak puas hati dengan tindakan MIC selama 50 tahun.
En. Ilesh: Dalam Malaysia ini banyak monopoli, lihat TMnet dan ASTRO. Perkhidmatan mereka teruk sekali.
En. Ilesh: Siaran ASTRO banyak yang kebelakang lambatnya 3-4 tahun. Tahu tak di India pun ada TV Satelit seperti ASTRO?
Hanief: Tak tahu pula.
En. Ilesh: Di India sana, ada ratusan siaran.
Hanief: Betulkah?
En. Ilesh: Ya! Malahan, siaran di sana semua yang terbaru. Tak macam Malaysia. Sukan tempatan pun kalau nak tengok pun membosankan. Sebab sudut kamera yang tidak pelbagai. Syarikat saya ada pasang karpet untuk permainan skuas pada acara skuas yang membabitkan Nicole David. Berapa ramai orang yang tahu tentang skuas? Banyak yang kerajaan perlu lakukan. Yang penting sekali ialah untuk mengajar rakyatnya bersukan. Bukan seperti sekarang anak-anak muda banyak main komputer. Bila tak ada budaya bersukan tiket stadium tak laku. Kalau dahulu masa tahun 70-an, permainan Hoki menjadi kegilaan rakyat Malaysia. Setanding dengan kegilaan bolasepak sekarang. Tapi yang gila bolasepak pun tak ramai yang tahu mahu bolasepak mungkin hanya tahu bertaruh sahaja.
Hanief: Hah! Betul tu!
En. Ilesh: Sayanglah Malaysia ini. Malaysia kaya dengan sumber alam tetapi kita tak gunakannya dengan baik. Stadium di negara kita banyak yang jadi gajah putih. Ada pula golongan yang kaya tapi tak kongsi dengan kaum dia. Semua kroni-kroni saja. Nak tengok Melayu yang kaya tengok rumah saja sudah cukup.
Hanief: Contohnya kawasan mana?
En. Ilesh: Shah Alam. Putrajaya. Semua tempat ini tempat orang kerajaan UMNO dan kroni. Ada yang pasang langsir rumah saja hinga cecah RM20,000.00. Ada yang pasal vertical blind yang automtik punya mahal-mahal. Kereta 20-40 buah. Dia punya tempat letak kereta besar macam kondominium. Tapi Putrajaya adalah satu tempat yang gagal. Ideanya bagus tetapi tak ada kemudahan. Kemudahan sangat penting dalam satu bandar. Semuanya berbalik pada monopoli.
Hanief: Memang banyak orang Melayu duduk di kawasan ini semua.
En. Ilesh: Ya, tapi ada yang dijual pada bukan Melayu, lokasinya di hujung-hujung bandar dan harganya berlipat kali-ganda mahal.
Hanief: Sebenarnya tak mahu bagi, itu yang dia letak harga mahal macam itu.
En. Ilesh: Siapa nak beli? Jadi kesudahannya tiada suntikan kemudahan dari sektor swasta. Satu-satu bandar itu akan mati tanpa suntikan kemudahan kedua atau ketiga. Saya pergi ke Putrajaya, air pancutnya tak berfungsi. Bengkel kereta pun tak ada. Kalau kereta rosak, kena tundalah jawabnya atau pun cari hinga ke Seri Kembangan.
En. Ilesh: Cakap mengenai kemudahan, AIMST, tempat anak perempuan saya belajar ada kemudahan lengkap dan ia terasing dari pusat hiburan dan memang sesuai untuk dijadikan tempat belajar. Dahulu dia nak masuk UCSI dan IMU. Tetapi melihatkan kemudahannya, saya kaya kenapa tak pergi ke AIMST.
En. Ilesh: Tahu berapa saya habiskan untuk anak perempuan saya di AIMST?
Hanief: Mesti banyak.
En. Ilesh: RM50,000.00 dan yang lagi seorang yang ambil A-Level itu RM12,000.00.
Hanief: Biasalah En. Ilesh. Malaysia mana ada pemberian pendidikan yang percuma. Semua dah diniagakan. Saya ni ada SPM sahaja.
En. Ilesh: Tak mengapa. Belajar tak semestinya di universiti. Sekarang yang penting penguasaan bahasa. Di Malaysia, rakyatnya boleh menguasai 2 bahasa sahaja. Di India sebagai contoh, mereka digalakkan menguasai bahasa ibunda mereka, Bahasa Inggeris dan satu bahasa pilihan seperti Bahasa Jerman, Bahasa Jepun dan lain-lain. Tanpa penguasaan bahasa asing, kita akan menghadapi masalah. Orang yang tahu banyak bahasa akan selamat.
Hanief: Betul tu sekarang zaman gloabalisasi. Eh, En. Ilesh saya kena pergilah, emel saya tadi dah dapatkan?
En. Ilesh: O.K. Jumpa lagi.