saya salah seorang pembaca dan penonton video bro, saya tertarik dengan beberapa perkongsian ttg ekonomi dan krisis negara, saya byk yang sependapat dan saya jangkakan kita ni mungkin sama iaitu dari golongan anak muda reformis, saya ****, seorang penganggur (sedang mencari pekerjaan) dan juga seorang pelajar ijazah separuh masa UTM dalam bidang ekonomi , benar benar amat setuju dengan dakwaan ekonomi malaysia adalah semakin "pulih" dengan bukti2 yang nyata yang saudara telah listkan, masakan tidak sehingga saya sendiri amat terkesan akannya hingga kini kerana tiada pekerjaan, mungkin kalau saya katakan tiada langsung saya adalah penipu tegar, sedang menjadi pemungut wang parkir saja tiada apa2 kelulusan, pokoknya antara memilih dan mencari pekerjaan yang sesuai adalah konflik anak muda macam saya, sambil bercita-cita besar ingin mendapatkan PHD (dengan cara halal, bukan beli) dan memberi sumbangan ilmiah untuk negara maka saya sering berfikir2 bahawa kalau seandainya saya bekerja biasa-biasa maka amatlah rugi kerana tidak boleh mencurahkan idea dan pandangan saya yang kritis ini, itu yang menyebabkan saya selalu dibelenggu, kalau nak kerja mungkin saya boleh dapatkan seperti bro hanief , jadi tech utk machine air , tapi tula saya seakan-akan tak dapat lari antara memilih dan berasa rugi akan kerana tidak layak untuk kerja disitu (bukan kerana menghina, tapi sekali lagi pandangan dan ilmu saya yang ada tak dapat disalurkan dengan kerja yang biasa biasa itu) , nak buat macam mana kita duduk dalam negara korup dan di harungi kapitalis-kapitalis tegar yang tak pernah kenyang dengan memerah keringat dan tenaga orang. So disini simple, ada apa-apa nasihat tak untuk saya bro? anyway, tq. salam.
Hanief: Saya tak pandai beri nasihat sebenarnya.
Saya cuma boleh cerita mengenai pekerjaan mesin layan diri yang saya ceburi. Saya sendiri pun tak tahu yang kerja sekarang ini agak mendatar. Maknanya cabaran kerja telah berakhir saya kira.
Rasa gundah-gulana akibat cabaran-cabaran yang ada, telah dapat ditangani. Rasa saya ini penting. Kemahiran memasukkan air tin telah saya kuasai. Satu tangan mesti berupaya memegang 3 air tin jika mahu selesai, balik tepat pada pukul 6 petang. Buat seminggu tempoh bekerja ini, 65% jalan-jalan sudah saya diingati. Lesen GDL (pengangkutan mengangkut barang seperti van dan lori muatan) belum lagi dimohon. Jadi saya tidak dibenarkan memandu. Tali pinggang keledar sudah saya perolehi (rasa lega sekali). Namun budak Sabah masih tidak memakainya. Mungkin dia kurang selesa. Kerja membaik-pulih mesin tidak dilakukan sehingga ke peringkat yang terlalu rumit. Ia ringkas, seperti bahagian-bahagian komputer.
Lokasi mesin-mesinnya lebih banyak berbanding mana-mana pekerjaan yang saya pernah ceburi sebelum ini. Banyak tempat saya kenali dari syarikat besar, syarikat kecil, mahkamah, hospital, universiti, kolej, lidah rasmi kerajaan, kem tentera/polis, kompleks membeli belah, kilang, kafeteria dan hinggalah ke gerai terkenal tepi jalan. Mungkin saya boleh membawa rakan-rakan dari luar negara untuk merasa Nasi Ayam di Jalan Gurney, Cendol Pulut di depan UNITEN dan pelbagai tempat lagi nanti.
Angkat barangan berat bukan masalah lagi. Saya jatuh cinta dengan berat karton minuman yang membentuk badan lelaki saya. Hari-hari saya melihat cermin. Hahaha ...
Ternyata dalam mencapai umur kahwin atau pun dalam tempoh idea ingin ke Iran sekali lagi, saya mungkin berupaya mendapatkan bentuk badan yang setanding dengan warga Iran tidak lama lagi. Mungkin agak terlambat, tetapi lebih baik cuba daripada duduk bersahaja. Bentuk badan yang baik akan mendatangkan keyakinan dan saya tidak nafikan minda juga perlu sama bijaknya. Barulah kita ada satu pakej manusia terampil.
Agak sukar juga rasanya kerana makanan di Malaysia agak mahal dan sedikit berbanding di Iran. Mungkin faktor saiz fizikal mereka yang besar membentuk jumlah makanan dan hidangan mereka.
Memiliki fizikal dan minda yang baik, adalah bak pertikaian cara belajar yang membabitkan lebih teori atau pun lebih kemahiran. Ramai yang berbalah seperti perbalahan Mac dan PC. Tetapi sedar atau tidak, kedua-duanya jika digabungkan ia akan menjadi satu senjata mapan. Gabungan apa-apa benda sekali pun ia perlu dilaksanakan oleh diri kita sendiri. Cuba lihat petani dan pemandu teksi di negara barat mereka petah apabila ditemuramah pemberita. Inilah yang kita mahukan. Ada kemahiran, ada ilmu dan ada kepetahan berbicara.
Sehingga hari ini, saya masih tertanya-tanya apakah dunia universiti mampu mengangkat masa depan saya sekiranya saya hanya berhutang puluhan ribu ringgit dan belajar seperti cara belajar pelajar sekolah dengan mengharapkan ihsan tenaga pengajarnya.
Saya yakin semua orang gembira dengan cara kita mendapat ilmu di sekolah. Kita disuap ilmu baru dengan penuh kasih sayang dan kemudian kita gunakan ilmu itu sehingga ke hari ini. Juga ada yang menerbitkan ciptaan baru (inovasi) dari ilmu itu.
Apakah ada cara belajar begitu lagi di universiti? Jika tiada, maknanya univeristi hanyalah tempat untuk mendapat kertas sakti yang mahal dan berkongsi ilmu jika ada keikhlasan atau kemampuan antara pensyarah dengan mahasiswanya.
Saya juga banyak mendapat ilmu baru khususnya mengenai IT di internet. Saya akui jika saya masuk universiti, saya tak perlu khuatir dengan subjek-subjek IT. Tetapi mungkin matapelajaran teras lain seperti Matematik, Fizik dan lain-lain yang berformula yang telah lama saya tinggalkan.
Rasa rugi umur juga sering membelit diri saya. Maklumlah, mata kita melihat apa yang kita tembungi setiap hari. Kerjaya sekarang banyak melibatkan lokasi universiti dan kolej. Saya tidak boleh menyesal. Saya perlu bangga dan cinta diri saya sendiri sebelum yang lain. Rasanya, saya boleh bangga dengan pemahaman bahasa baru dan tak lama lagi pemilikan ladang yang saya idam-idamkan.
Saya tak kisah lagi dengan tarikan masadepan yang dijanjikan oleh mana-mana menara gading. Wang menjadi penghalang sebenarnya. Pinjaman atau berhutang tiada makna bagi penduduk negara kaya ini. Susuk-susuk besar VVIP bebas dibiaya percuma dengan wang rakyat. Lupakan mereka. Bukankah manusia sering terlupa pada apa-apa benda yang mereka benci atau pun kurang minat? Seperti kawan Sabah saya. Saya tanya kamu kenal Shafie Afdal? Bung Mokhtar?
Jawabnya tidak. Walaupun dia berumur 31 tahun, saya jelaskan inilah nama ahli parlimen Sabah dan menteri. Jawabnya tidak kenal. Hahahaha...
Ada banyak jalan untuk berjaya. Dalam bekerja bersama orang-orang bawahan (kerja berat, kerja yang mengotorkan tangan dan kerja yang mandi peluh) banyak yang saya perolehi. Antaranya rasa rendah diri, sikap peramah dan rasa tabah (apabila melihat Cina-cina tua di Kampung Cempaka mengusung barangan jualan setiap pagi). Suasana ini penting dalam membentuk diri saya. Jika ada ahli parlimen yang ingin memantapkan kerjaya mereka, mereka harus turun padang dan memerhati segala-galanya ini. Paling terbaik, bekerja bersama-sama mereka ini seperti saya lakukan sekarang.
Dalam memikul kerja ini, setiap hari saya mandi peluh. Barulah saya tahu mengapa orang-orang ini semua berbau hapak dan tak minat pada minyak wangi. Kita hanya melihat, tetapi tidak merasa. Ia bak anggota FRU yang hanya menyembur gas pemedih mata pada para demonstran. Mereka hanya menembak gas. Tetapi tidak pernah terkena gasnya.
Saya akui yang kerja sekarang masih saya lakukan dan tidak sedikit pun saya rasa hina. Saya ada waktu untuk berinternet di rumah (waktu kerja dari 8.30 hingga 6 petang). Google ibarat universiti saya. Saya dapat menggembirakan orang ramai dengan membekalkan minuman dan makanan halal.
Saya dianugerahkan bos yang pandai 'bermain pedang'. Bukan bos yang duduk membuncitkan perut bersama gundik-gundik sambil menyantap anggur-anggur ranum.
Semua mereka hisap rokok, kecuali budak Sabah itu. Walaubagaimana pun mereka hanya menghisap rokok di restoran mamak yang ditiup kipas siling yang laju sekali. Ia bukan tempat berhawa dingin seperti Restoran Naab di Bukit Bintang. Hahaha...
Kesimpulannya sekarang, kita kena cari duit. Kita main permainan Kapitalis. Wang menjadi buruan. Kita buru wang. Bila tiba masa, kita buka ladang. Kita tarik anak-anak muda satu demi satu. Setitik air dan pancaran cahaya matahari mampu mengubah masa depan sesebuah tamadun. Tuhan akan membantu kita. Tuhan miliki air dan matahari. Lihat Aceh dan lihat Mesopotamia. Kita perlu kembali pada tanah. Kita perlu kuasai semula hasil bumi jika mahu melawan Kapitalisme. Setelah elemen teras ini kukuh dan meliputi keperluan (sehingga terbela 27 juta nyawa rakyat Malaysia) barulah kita cerita bab memperbanyakkan ahli Sains dan para penyelidik (RND).
p/s: Mulakan langkah kita hari ini. Duduk bersahaja di dalam cakerawala kapitalisme hanya akan memiskinkan kita. Lainlah jika kita ada tanah yang boleh kita jasai bagi memperoleh hasil. Seperkara lagi, jika kapitalisme sedang menguncup saya rasa, kita perlu pergi pada sektor yang lebih berdaya maju. Sektor pertanian (pemanasan global), makanan (kemiskinan) dan kesihatan (penyakit). Saya akan kembali kepada sektor IT, apabila saya berada di negara yang meriah ekonominya dan juga bijak pemimpinnya.