Malaysia : Tong Taik UMNO: June 2012

Saturday, June 23, 2012

Kerja Cleaner di Singapura


Dah lama saya tak pos. Saya cuti hari ini. Memang sibuk di Singapura ni. Saya sekarang kerja sebagai cleaner. Setiap kerja ada unsur positif dan negatifnya. Itu belum campur dengan benda-benda yang bos tak cerita masa hari pertama saya ditemuduga.

Seperti kebanyakan orang, saya rasakan kerja tersebut hanyalah berkait dengan penyapu dan kayu mop serta tong sampah sahaja. Tetapi sangkaan saya meleset, apabila ada kerja membasuh pinggan yang membabitkan saki-baki babi dan arak.

Bos tersebut mungkin tidak begitu ambil berat akan sensitiviti orang Melayu kita. Bos saya orang India. Selepas saya ditemuduga untuk kerja tersebut, bos terus ke Chennai dan beberapa tempat lain di India.

Rasa saya, punca mengapa bos ini suka akan pekerja Malaysia adalah kerana pekerja Malaysia yang sedia ada sekarang 6 orang (termasuk saya) biasanya tidak berani bersuara dan memiliki masalah peribadi tersendiri yang sudah tentu memilih untuk bekerja terus. Walaupun ada di antara mat-mat Melayu yang cakap berbelit-belit pada saya, tapi dengan mudah saya dapat simpulkan bahawa kedatangan saya sedikit sebanyak menggugat kedudukan mereka. Itu belum cerita lagi masalah mereka yang gagal berhenti merokok dan kadang-kadang minum minuman keras di malam hari. Mereka tak minum di depan saya. agaknya, sebab itulah mereka gemar pulang berasingan. Bekerja dalam kumpulan akan menjadi masalah jika adanya orang yang kaki rokok. Lazimnya orang ini terpaksa keluar untuk hisap rokok. Bukan sekali tetapi lebih 2-3 kali, inilah kelemahan mereka dan juga tabiat buruk boleh menjejaskan satu syarikat. Dari segi kebersihan mereka OK.

Apapun, pukul 1 petang ini saya akan berjumpa dengan bos bagi membincangkan tentang hal kerja ini. Saya juga harus berlaku adil supaya dua-dua pihak tidak rugi. Kerana bos India ini merupakan bos kedua yang pantas (dalam penyediaan segala proses) yang saya pernah jumpa.

Saya akan pilih untuk beralih ke kerja sapu dan mop jika ada kekosongan. Dan jika tiada, saya perlu berhenti. Para pembaca semua jangan ingat saya sengaja-sengaja nak kerja dengan mengotorkan tangan dengan benda haram ini. Bayangkan wang Singapura yang kini SGD S $1 = RM2.5, tentulah saya cari jalan bagi menghalalkannya secepat mungkin. Apa makna jika saya ada anak esok, wangnya datang dari hasil cucian gelas wine dan pinggan serta periuk masakan babi? Saya tentu enggan menerima hasil wang tersebut.

Pasport saya dipegang oleh majikan, ini mirip seperti majikan saya dahulu. Jadi saya bukanlah takut untuk berhadapan dengan pihak polis di Malaysia. Saya dengar mereka ada datang ke rumah orang tua saya. Untuk pengetahuan pihak SKMM dan PDRM, saya sekarang bekerja di Singapura bukan di Sentulpura.

Sedikit bab politik, negara kita dah nak lingkup. Cuba tengok tukaran matawang SGD S $1 = RM2.5. Apa yang sudah para pemimpin kita lakukan? Menangkap penulis blog? Menutup mulut pembangkang? Menyembur air asid pada himpunan aman? Mengebas duit projek lembu? Nasihat saya pada pengampu kerajaan, jom ke Singapura. Kerana dengan pengalaman sahaja diri kita akan menjadi lebih kukuh.

Monday, June 11, 2012

Dunia Kelam-kabut


Hari ini saya berpeluang bekerja sebagai orang yang menjemput orang lalu-lalang untuk masuk kafe makan tengahari.

Selama ini, saya hanya lihat orang lain buat kerja sebegini. Tanggapan saya ia mencabar.

Tetapi hari ini, ia telah memberikan sesuatu perspektif  baru buat saya. Saya rasa ianya sangat membuka mata pada saya. Ianya lebih menghiburkan jika orang sekeliling beretika.

Saya tak kisah untuk memburuh di negara orang. Bukan ada orang kenal saya pun di Singapura. Kalau di Malaysia mungkin lain cerita.

Jadi, nak jadi cerita saya pun pegang kad menu yang besar, di hadapan kafe. Ramai orang lalu lalang, saya tegur semuanya dalam bahasa Inggeris.

Kepada orang Cina, kebanyakan mereka balas pendek. Seperti, "Don't want", "Taken my lunch ready", ada yang geleng kepala, ada  yang jalan buat tak tahu saja, ada yang berhenti tanya pasal menu kemudian tanya, "Are you Filipino?". Tapi kebanyakannya "No". Saya hanya dapat pikat sekeluarga Cina saja untuk ke kafe itu. Mungkin anak-anak kecil mereka juga main peranan.

HAHAHAHA!

Kepada orang Melayu, untuk pengetahuan anda orang Melayu tak ramai di Joo Chiat. Jadi adalah 2 orang. Seorang lalu mengangkat tangan tanda 'tak mengapa' sambil senyum dan beredar. Seorang lagi berhenti dan pegang menu yang saya bawa dan belek lama sambil bertanya beberapa menu yang ada di situ.

Ini bahagian yang paling membuka mata. Sedia?

Mat Salleh! Maka lalulah Mat Salleh sekeluarga. Mat Salleh ini kahwin dengan orang perempuan Korea. Perempuan Korean (isterinya) tak sabar-sabar nak beredar semasa suaminya membelek menu yang saya terangkan. Akhirnya suaminya masuk dan pesan satu hidangan untuk dibawa pulang. Isteri Koreanya mencuka seperti diajak masuk agama lain pula. HAHAHAHA!

Kemudian!

Minah Salleh! Lalu pula Minah Salleh, inilah detik yang sangat membuka mata. Di mana, Minah Salleh ini mempunyai etika manusia yang sangat tinggi. Sikapnya membuatkan saya ingin bersikap sepertinya pada masa akan datang. Bagaimana?

Begini. Beliau ditegur saya, "Hi, Good Afternoon Maam, having lunch here? We have laksa, chicken roll, spaghetti and many more here, you may look at our menu. You can take away as well maam."

Balasnya, "Oh, I just had my lunch, (sambil membelek lama menu makanan). It's okay, maybe next time. (bercakap sambil badannya mengadap pada saya, ibarat seperti akhlak Nabi S.A.W)"

Jawab saya, "Okay no problem, next time maam. Thank You!"

Kalau baca, mungkin bunyinya biasa. Tapi beliau benarkan saya habiskan ayat saya. Ia menggambarkan minah salleh ini tidak kelam-kabut dan sangat tenang serta memberi respon yang beretika tinggi.

Bukan itu sahaja, saya terfikirkan, mengapa Mat Salleh dan Minah Salleh tak perlu kelam-kabut serupa kita semua di Asia ini? Kita kelihatan gopoh, berduit kecil dan berpeluh serta suka menidakkan sosok yang benar-benar berkelayakan (tindas rakyat sendiri)?

Wednesday, June 6, 2012

Kisah Kelakar Di Kaki Bukit View Hari Ini



Saya naik bas nombor 87 dua kali ke Kaki Bukit View bangunan 51 (Trusted View). Ini semua gara-gara kerja pembinaan stesen MRT Kaki Bukit yang menghalang pandangan si pejalan kaki. Semua orang tahu telefon pintar saya sudah rosak. Jadi pakai ingat-ingat saja. Nasib baik ada peta di Bedok Bus Interchange. Jadinya bas kedua nombor 87 berjaya membawa saya ke Trusted Hub.

Ini cerita kelakar. Jangan lupa gelak.

Sebelum saya ke Kaki Bukit, saya menelefon syarikat tersebut untuk temuduga jawatan Data Entry. Puan Tai Yin yang mengangkat telefon, menanyakan apakah saya orang Malaysia, tinggal di mana, ada pengalaman atau tidak, nak berapa gajinya dan akhir menyuruh saya ke Kaki Bukit setelah saya jawab, yang saya rela dengan gaji kecil sebab walaupun saya orang IT saya sanggup kerja Data Entry. Saya setuju gaji SGD $1,000.

Setiba saya di sana, saya sempat tercegat menyaksikan seorang wanita Cina menyatakan kekecewaannya pada pekerja logistik (yang berkaitan dengan forklift itulah!). Dengarnya susunan haru-biru dan perlunya penyusunan semula. Saya yang baru potong rambut di Little India mungkin tampak innocent dengan muka remaja yang mungkin tak memahami sepatah pun yang dipertuturkan mereka.

Setelah 1 minit berlalu, pekerja tersebut mendekati saya dengan wajah yang berubah dari muka bengang kepada muka ceria. Katanya nak datang temudugakan? Saya mengiyakannya dengan berkata temuduga Data Entry.

Saya dibawa ke tingkat 3 dan masuk dalam bilik mesyurat selepas dipersilakan seorang pekerja wanita yang tampak seperti pekerja senior di situ. Saya diberikan borang. Khabarnya semasa di telefon, akan ada puluhan orang yang bakal menjalani temuduga itu. Tapi ketika di sana hanya saya seorang. Saya sebenarnya sampai awal. Dia suruh saya datang pukul 1.50 tengahari, saya datang pukul 1.27 tengahari. Makanya, saya disuruh mengisi borang permohonan kerja sambil menunggu yang lain tiba. Saya berkata jalan untuk ke Kaki Bukit View agak tersorok berikutan sekatan jalan bagi pembinaan stesen MRT Kaki Bukit. Namun saya menyatakan lagi 5 tahun kawasan itu akan berubah rupa dan ia lebih senang dicapai. Dah katanya lagi 5 tahun akan siap. Haha!

Masa berlaku, maka masuklah Puan Tai Yin yang membawa bersamanya seorang lagi pemohon kerja warga Singapura. Saya yang sudah mengisi borang seperti yang disuruh wanita pertama. Puan Tai Yin masuk dan menerangkan bagaimana nak isi borang. Saya dengar dengan teliti.

Saya dan warga Singapura yang belum mengisi borang itu disuruh tunggu, akan kehadiran pemohon yang lain (sebelum latar belakang syarikat dan segala corak operasi syarikat itu diterangkan). Kami juga diberitahu lokasi tandas jika ada yang berhajat.

Saya pilih untuk ke tandas setelah berhempas-pulas dari Little India dan menaiki dua kali bas 87 ke Kaki Bukit.

Saya belum makan tengahari lagi. Namun dengan semangat sahaja sudah mengenyangkan.

Acara seterusnya diteruskan walaupun kami dua orang sahaja. Itulah saja bilangannya.

Dalam penerangan itu Puan Tai Yin kelihatan seperti Donald Trump. Sangat petah dan berhujah dengan logik. Walaupun sekarang ini saya berada di kafe siber, tapi ketika itu seingat saya penerangannya berkisar tentang corak operasi Trusted Hub.

Oh ya, sebelum itu diterangkan apa itu Trusted Hub. Ia merupakan nadi kerajaan Singapura dan juga beberapa syarikat besar Robert Kuok dan syarikat besar lain macam TEMASEK dan banyak lagi. Serta juga nadi kepada institusi seperti insurans dan kesihatan.

Corak operasinya adalah seperti berikut. Trusted Hub bertanggungjawab untuk bikin salinan dokumen dalam bentuk elektronik atau pun lebih tepat lagi soft copy. Dari kertas yang dikutip dari syarikat-syarikat tersebut, ia berikutnya disediakan (cabut stapler, susun helaian, kategorikan), diimbas (guna pengimbas, disunting yang mana tak jelas), diperiksa (pemeriksaan kualiti) dan diindekskan (inilah proses Data Entry, masukkan data dalam pengkalan data).

Setelah sesi penerangan di dalam bilik mesyuarat itu, saya kami dibawa ke tempat orang bekerja. Tempat paling senang katanya, tempat menyediakan data (DP - Data Preparation benda macam bikin cabut stapler, susun helaian, kategorikan). Ditingkat itu juga ada proses kedua, (scanning mengimbas kertas dan sunting yang mana tak berkenaan dan terang warna). Ramai juga buruh yang bekerja di situ. Mereka kelihatan kelam-kabut dan laju sekali bekerja. Terasa kecil ketika melihat keadaan itu. Namun saya cuba bertenang kerana masa saya belum tiba.

Kami dibawa ke tingkat lain, iaitulah tingkat yang memerlukan kecekapan tangan. Proses QC (Quality Control) merupakan proses ulang semak data yang telah diimbas. Orang di situ semua menaip tanpa melihat papan kekunci. Hanya skrin. Saya amat teruja.

Proses terakhir juga menyaksikan orang-orang yang bekerja tanpa melihat papan kekunci. Mereka menaip sangat laju.

Seterusnya, tiba giliran saya. Saya diarahkan untuk mengikut seorang pekerja perempuan untuk menguji kecekapan saya mengindeks (data entry). Manakala yang warga Singapura tadi digandingkan dengan pekerja lelaki.

Saya diterangkan oleh pekerja wanita yang bernama Gigi (Jiji). Aksi Gigi sangat pantas. Kalau orang yang tak pernah guna komputer, tindakan Gigi akan kelihatan seperti seseorang yang tak ada niat nak mengajar langsung. Setelah menunjukkan contoh memasukkan data dari dokumen insurans sepantas kilat, tiba giliran saya.

Saya yang memandang rendah pada diri saya, terkejut dengan kepantasan saya yang ditambah dengan shortcut key yang melampau. Contohnya, sewaktu memilih folder dengan kekunci anak panah saya menaip nama depan folder kemudian Enter. Ini lagi tepat ke sasaran. Kalau main kekunci anak panah nanti terlajak pula, nampak bodoh. Saya pun memasukkan data dengan laju. Saya sendiri pun tak sedar bahawa saya juga taip dengan laju tanpa melihat melihat papan kekunci. Gabungan kekunci pula saya hanya mengenakan satu tangan berbanding Gigi yang menggunakan dua tangan. Dia juga buta hotkey (apa jua menu yang ada garis pada huruf bila kekunci Alt ditekan). 

Sepanjang itu, Gigi yang  pada mula pandang saya sebelah mata, mula berminat nak tanya macam-macam yang peribadi. Dia terkejut saya ini orang Malaysia dan seorang Melayu. Saya juga terkejut bahawa dia juga bukan orang Singapura. Saya tanya dia, berapa lamakah tempoh latihan untuk pekerja baru? Katanya seminggu kebiasaannya. Dua minggu pun ada. Saya tanya dia, berapa lama dia sudah kerja situ. Balasnya, setahun. Saya tanya, pernahkah dia kerja di kaunter bank atau juruwang? Katanya tidak. Sahlah amoi ni bersetahunan di sini. Terbayang dalam kepala saya, "Entah apalah nasib aku nanti".

Setelah beberapa folder selesai, saya disuruh berhenti. Saya terkejut. Terdetik di hati "Takkan dah selesai?". Kelihatan riak mukanya sangat gembira. Dia cuba mendapatkan Puan Tai Yin. Saya disuruh tunggu di depan pintu lif pula. Manakala dia dan Puan Tai Yin berada di tempat kami berkomputer tadi. Dari jauh saya hanya dapat saksikan muka Puan Tai Yin yang seakan-akan tak percaya atau tak setuju dengan Gigi. Apa yang aneh di sini ialah, mengapa saya tidak dibawa sekali berada di situ. Dari segi perasaan, saya ada perasan bahawa Gigi dah 'semacam' masa dia tanya hal peribadi tentang saya dan cuba berbahasa Melayu dengan saya (walaubagaimana pun saya nak berbahasa Inggeris dengannya). Takkanlah Gigi berbohong pada Puan Tai Yin? Tambahan pula, Puan Tai Yin tahu bahawa saya merupakan orang IT.

Prasangka saya terpadam seketika apabila saya dibawa ke tempat seterusnya. Tempat yang lebih sukar. Itulah mengindeks data dari dokumen hospital yang memiliki keunikan ruangan (tak seperti dokumen insurans). Kali ini bukan Gigi yang tunjuk-ajar. Tapi seorang pekerja wanita Cina Singapura yang berusia sekitar 40-an. Mirip Gigi, dia juga pantas. Dipendekkan cerita, saya juga berjaya buat apa  seperti yang ditunjukkannya. Kami sempat berbual mengenai cermin mata yang saya pakai. Dia hairan, bagaimana saya boleh nampak nombor yang disendiri tak nampak. Sangkanya saya ini rabun dekat. Saya kata ini cermin mata standby. Saya hanya perlukan cermin mata apabila berada dalam suasana yang kurang cerah.

OK, ini bahagian kelakarnya. Beberapa folder saya berjaya habiskan. Tak sangka dia sudah berbincang dengan Puan Tai Yin yang mana akhirnya perempuan itu menyuruh saya berhenti. Puan Tai Yin pula memanggil saya mengikutnya dan mengeluarkan barangan dari locker. Katanya saya tak sesuai kerja di situ. Saya tanya dia, antara dokumen insurans dengan dokumen hospital, yang manakah lebih sukar? Saya tahu jawapannya. Kerana di meja mesyuarat sudah diterangkan bahawa dokumen hospital lebih sukar. Di meja mesyurat juga ada disyaratkan supaya jangan bertanya sekiranya tak berjaya dapat kerja itu (gelaklah!).

Saya kemudiannya ditawarkan pula kerja juruteknik komputer di Trusted Hub. Puan Tai Yin masuk ke dalam pejabatnya. Saya tunggu di luar setelah saya meyakinkan dia bahawa saya sedia kerja di situ jika ada kekosongan kerana kerja Data Entry tadi pun tak dapat.

Puan Tai Yin keluar, maka dia pun kata, "Nampaknya hingga di sini sahaja, maaf tak ada kekosongan di bahagian IT juga."

HAHAHAHAHAHAHAHA!

Saya masih di Singapura, saya hanya mampu ketawa saja. Kerana ini sangat kelakar!

HAHAHAHAHAHAHAHA!

Ada orang telah membuatkan saya sangsi dengan kebolehan saya sendiri dan saya sendiri tak tahu apakah saya perlu bikin komik Jom Kerja di UK pula?

Saya menganjurkan kepada sesiapa yang pernah mengalami nasib seperti saya, usahlah kita pandang rendah pada diri kita sendiri. Dicampak kerja rendah orang tolak, dicampak kerja tinggi, pun ditolak. Bukan senang nak jadi orang dalam kategori reti buat kerja tapi tak bersijil. Ini mirip kisah Nabi Yusuf A.S kena buang dalam perigi. Tak apalah bumi ini luas. Saya tak kisah pun, cuma saya nak ketawa kerana mereka berjaya sangsikan saya, dengan bakat yang saya ada.

HAHAHAHAHAHAHAHA!

Saya juga pernah dengar rakan sebilik saya yang berasal dari Kerala (namanya Vinod) berkata, "Singapura ini merupakan tempat orang tertentu pegang jawatan dan bukannya negara Metropolitan (berbilang bangsa)  pun".

Bukan saya kata. Tapi Vinod my roommate dulu. Kalau betullah kata si Vinod, maka nanti akan adalah orang kata, Singapura pun ada ketuanan-ketuanan juga!

Entahlah. Saya nak ketawa lagi, sebab orang kata ketawa ini penawar.

HAHAHAHAHAHAHAHA!

p/s: Nasib baik saya ketawa HAHAHAHAHAHAHAHA! Dan tak pilih untuk ke Brunei, khabarnya sana gaji programmer pun BND $1,000 (S$1,000) HAHAHAHAHAHAHAHA!

Friday, June 1, 2012

PDF: FREELANCER.COM | Tips Pindah Duit Lepas Menang

PDF: KEEEMA' - JUN 2012

Blog Archive